Ultimate magazine theme for WordPress.

200,000 Rakyat Malaysia Meraikan Usahawan Tempatan TikTok Shop di Kempen Dalam Talian dan Luar Talian Karnival TEKUN Madani

0

TikTok Shop Malaysia meraikan kejayaan kerjasama strategik bersama TEKUN Nasional bagi Karnival TEKUN Madani peringkat negeri Pulau Penang. Acara tiga hari itu telah berjaya menarik lebih 40,000 usahawan dan peminat e-dagang serta 160,000 penonton dalam talian. Ia bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memperkasakan para usahawan tempatan serta meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan inisiatif #JomLokal TikTok Shop.

Program membuka tirai pada 28 Jun dengan sesi perkongsian berimpak tinggi daripada pencipta konten terkenal dari TikTok Shop, Vicky Littlewolf, yang telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 100 pencipta konten dan penjual di Pulau Pinang. Berdasarkan pengalaman sebenar, perkongsian Vicky termasuklah bagaimana perjalanan keusahawan beliau telah membantu memacu kerjaya dan perniagaan komuniti pencipta konten tempatan.

 

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bangga terhadap impak positif kerjasama strategik ini kepada komuniti usahawan kita. Dalam hanya 45 hari, kerjasama ini telah melatih 150 peniaga dari Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis. Malah, usahawan-usahawan TEKUN Nasional ini juga berjaya mencapai 1.19 juta trafik pelanggan dan menyaksikan peningkatan setinggi 243 peratus dalam jualan penstriman langsung mereka, berkat sokongan TEKUN Nasional dalam merealisasikan transformasi digital,” menurut Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz.

Semasa karnival tersebut berlangsung, 10 usahawan cemerlang yang memenangi pertandingan penstriman langsung baru-baru ini telah masing-masing menerima ‘pakej penstriman langsung’ yang bernilai lebih RM7,000. Pakej tersebut melibatkan sokongan trafik pelanggan, baucar jualan, pencarian pencipta konten yang serasi, dan persediaan stesen penstriman langsung. Bagi merancakkan lagi acara itu, 14 lagi usahawan telah mempamerkan idea inovatif mereka dalam pertandingan ‘business pitching’ yang memberangsangkan.

Pengerusi TEKUN Nasional, Dato’ Abdullah Sani, menzahirkan penghargaan kepada TikTok Shop kerana membantu mempromosikan acara itu sebagai rakan strategik, sekali gus berjaya mencapai lebih 3 juta penonton melalui video-video berdurasi pendek setakat 29 Jun 2024. “Untuk berjaya sebagai usahawan, kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan. Kebangkitan teknologi maklumat dan komunikasi telah memacu masyarakat ke arah era digital. Justeru, penyesuaian diri dengan teknologi baharu akan membolehkan usahawan berinovasi dan meneroka peluang baharu,” tegas beliau.

Di samping itu, Karnival TEKUN Madani juga dimeriahkan lagi dengan Majlis Penganugerahan TikTok Shop yang dirasmikan oleh Dato’ Abdullah Sani, bagi meraikan pencapaian cemerlang usahawan-usahawan luar biasa ini, termasuk:

  • @cikschagold.hq, pemenang ‘Hasil Jualan Penstriman Langsung Terbaik’ yang berjaya mencapai pertumbuhan jualan sebanyak 7,000 kali ganda dalam masa 20 hari;
  • @lipstickscarf, pemenang kategori ‘Pertumbuhan Pesanan Tertinggi’ yang berjaya mencapai pertumbuhan pesanan sebanyak 1.6 kali ganda dalam masa 20 hari;
  • @cendawanhub, pemenang kategori ‘Interaksi Video Berdurasi Pendek Terbaik’ yang berjaya meraih lebih 40,000 tontonan;
  • @shiffaenterprise yang memenangi pertandingan ‘business pitching’.

Shiffa Enterprise, sebuah pembekal Serbuk Kari Pulau Pinang milik keluarga, telah dianugerahkan program pembangunan tiga bulan yang dikendalikan oleh Rakan Kongsi TikTok Shop, Anna Aziz. Ia merangkumi penghasilan video berdurasi pendek, hos jualan penstriman langsung, dan dua sesi bimbingan 1-1 secara dalam talian dan bersemuka. Anna Aziz merupakan jurulatih yang berpengalaman dalam penghasilan kandungan video untuk meningkatkan keterlihatan, penglibatan dan jualan jenama. Perkhidmatan komprehensif beliau termasuk perancangan strategik, penceritaan yang hebat, pengeluaran yang bermutu tinggi, analisis prestasi yang terperinci, dan sebagainya.

Kerjasama dengan TEKUN Nasional ini merupakan satu langkah penting ke arah memupuk inovasi digital dan pertumbuhan dalam landskap keusahawanan Malaysia, seiring dengan komitmen berterusan TikTok Shop untuk memperkasakan usahawan-usahawan tempatan.

- Advertisement -

Leave A Reply

Your email address will not be published.